Monday, April 5, 2010

Tentang Kita

Tentang Kita...

Kami adalah kucing. Kucing yang bertuankan pemimpin pada nama. Bergerak untuk menutup kelibat yang pada hakikatnya meletakkan kaki di atas meja. Mungkin perkara ini tidak disedari oleh pihak yang tidak terlibat secara langsung, tetapi nyata kesannya dirasai dengan jelas oleh kucing seperti kami. Tugas telah diberi bagi mengisi tampok kepimpinan dan tanggungjawab seharusnya dilakukan sejajar dengan jawatan yang telah diamanahkan oleh pihak atasan.
Kupasan untuk tatapan penyedaran, ternyata kelekaan pihak yang terbabit menimbulkan rasa kuarang senang. Kerahan dan tugas yang telah dilaksanakan dipandang enteng. Kami merangkak untuk membuka jalan di denai, tetapi mereka melompat untuk melangkah denai. Jelas disini, secara teknikalnya mereka gagal dalam melaksanakan tugas dengan efisien. Masih tersirat perkara ini dari pandangan umum, suratan kami adalah kami adalah kucing
Kami adalah kucing. Hidup di arah dan dikerah. Berjaya di belai. Gagal maka makian menjadi makanan. Terlindung atas sebuah nama yang telah gah bertapak, banyak karat hakikat di atas kepala. Perkhidmatan atas tujuan pembelajaran dan pemantapan jati diri menjadi wadah bagi mereka untuk menunjukkan kuasa. Diskriminasi menjatuhkan kami.
Monarki. Anarki. Authoriti. Lebih kepada Marxism. Kaki di atas tangan menangkis. Kuku disembunyi mengeluarkan taring. Berat sebelah bermula untuk meraih undian suara dari kumpulan muda. Kewujudan kami kucing dipandang sebagai tentera kerahan. Layanan berbeza untuk mendapat keuntungan dan jawatan. Sedar dalam tidak sedar, kuasa hakikat berada majoriti di tangan kami. Kelumpuhan bakal terjadi jika kami mula bertekad untuk mengorak langkah membuka pekung di dalam kain. Menyatakan dalam tindakan.
Dunia ibarat neraka. Hidup umpama layang-layang. Sekali berada di atas tidak bermakna berada di atas selamanya. Kebenaran akan terbongkar, tetapi persoalannya bila? Adakah insan yang akan bersuara demi keadilan? Umpama tin kosong, meriah bila di ketuk tapi isi nyata kosong. Berbicara mengenai suara, kami kucing menunggu masa yang sesuai untuk bersuara.
Setiap tindakan datang bersama risiko. Risiko untuk menegakkan keadilan mungkin akan menyebabkan pergelutan dan perdebatan. Nasib kami sebagai kucing, perlu bergelut sebelum mencapai kemenangan.
Nantikan kucing menunjukkan kukunya. Apa yang pasti bukan kucing mengeluarkan tanduknya. Impikan harimau meninggalkan belang, menjadi nyata kucing dengan tanjak menghunus keris membimbit suara.

No comments:

Post a Comment